Saturday, April 25, 2009

BICARA HATI (BAB 2)

BAB 2
MAJLIS perkahwinan Tengku Syahran dan Zahlia telah diadakan secara besar-besaran bagi meraikan kedatangan orang baru di Villa Sakura. Walaupun Tengku Badariah sedikit terkilan dengan keputusan anaknya mengahwini orang kebanyakan, namun dia terpaksa juga menerima hakikat tentang jodoh pertemuan di tangan yang Maha Esa.Kini dia redha dengan kehendak anak keduanya yang beria-ria minta dikahwinkan segera dengan pilihan hatinya.Nak buat macam mana kalau dia dah suka? Ikutkan ajelah.Lagipun perempuan tu nampak dari golongan yang baik-baik.Pakai tudung, kelakuan pun sopan.Emmm… ada chance lah aku dapat cucu dalam setahun dua ni!Bisiknya di dalam hati.“Yah, apa yang awak menungkan tu?” soal Tengku Ismail apabila mendapati isterinya tidak mengikuti topik perbualan.Tengku Badariah terkejut seketika.“Hah, tak ada apa-apalah bang! Yah tengah perhatikan menantu kita tu.Sopan orangnya kan, bang?” beritahu Tengku Badariah.“Sopan, lawa! Teringat awak masa muda-muda dulu,” ujar Tengku Ismail sambil ketawa kecil.Tengku Badariah menoleh ke arah suaminya.“Jadi, sekarang ni Yah dah tak lawa lagi ke?”“Bukan begitu maksud abang! Apa yang abang perhatikan, Alia tu bakal jadi isteri yang baik seperti Yah,” beritahu Tengku Ismail.“Yalah abang tu!”“Ya! Lagipun biarlah Syah kahwin dengan pilihan dia.Kalau kita pilihkan isteri untuk dia, takut bukan taste dia.Peristiwa yang terjadi pada Kimi betul-betul buat abang serik,” ujar Tengku Ismail secara jujur.“Yah pun rasa berdosa pada Kimi bang! Disebabkan Yahlah, dia kena tanggung semuanya ni.Itu pun Alhamdulillah Jasmin pergi tak bawa Murni sekali,kan bang?” Tengku Badariah berkata sambil mengingati cucu sulungnya yang berusia lima tahun.“Em…syukurlah,” ringkas Tengku Ismail menjawab.“Tapi Yah sebenarnya sedih jugak sebab Syah pilih sendiri jodoh dia.Kalau Syah kahwin dengan Linda,Yah lagi suka,” balas Tengku Badariah.“Yah nak jodohkan dia dengan Linda? Hisy…simpang malaikat empat puluh empat.Abang tak berkenan sungguh dengan anak Datin Rohana tu.Perangainya melebihi orang barat.Pakai baju terbelah sana.Terbelah sini,” rungut Tengku Ismail.“Abang jangan nak mengata anak kawan Yah.”“Abang cakap apa yang betul.Abang memang tak berkenan dengan Linda tu,” bidas Tengku Ismail.Tengku Badariah mula menarik muka masam.“Abang memang begitu,semua kawan Yah tak elok.Kawan abang ajelah yang baik,” rajuk isterinya.Tengku Ismail ingin ketawa tetapi ditahannya.Tengku Badariah memang pantang jika kawan-kawannya diumpat.Persahabatan pada Tengku Badariah terlalu suci untuk dipersoalkan.“Abang tak cakap semua kawan Yah macam tu! Cuma segelintir saja yang abang tak berkenan perangainya.”“Ah, malaslah nak layan abang!” Tengku Badariah terus melangkah pergi.Tengku Ismail memandang Tengku Badariah yang melangkah semakin jauh.Kepalanya digeleng apabila kelibat isterinya itu hilang di sebalik kanopi dan orang ramai yang ada di situ.Para tetamu sudah semakin ramai memenuhi ruang legar pekarangan Villa Sakura.Taman mini yang tersedia di tepi sudut sebelah kanan villa itu menarik perhatian ramai.Sehingga ada yang duduk berbual di situ sambil menikmati pemandangan air terjun buatan yang menyerikan suasana.Di sudut bertentangan tersusun kerusi kayu berukir yang ditempah khas dari China.Di kelilingnya terdapat pasu-pasu kecil bunga kertas yang beraneka warna.Di kejauhan, kelihatan Tengku Syahran sedang leka memerhati Zahlia yang berada di taman mini itu.Dia sedang rancak berbual dengan tetamu yang hadir.Sesekali wanita itu ketawa dan berbual dengan saudara-mara yang suka mengusik.Tengku Syahran tersenyum.Pandai betul dia berlakon! Mujurlah pandai bawa diri.Bukan senang nak bergaul mesra dengan orang-orang kenamaan yang banyak karenah, bisiknya.“Syah!!!” Tengku Syahran tersentak apabila namanya dipanggil.Dia berpaling apabila bahunya dicuit.Abangnya, Tengku Hakimi sedang tersengih memandangnya.“Apahal kau tenung isteri kau tu lama-lama? Kalau ya pun sabar-sabarlah sikit,” usik abangnya.“Along ni merepek ajelah!”“Apa yang merepeknya.Hei, along dah ada pengalaman tau! Kau ingat along tak nampak apa yang kau buat tadi? Perhatikan Alia macam nak telan.Along pun pernah rasa perasaan tu Syah,” tambah Tengku Hakimi lagi.Tengku Syahran bersikap selamba.Entah perasaan apa yang dimaksudkan oleh Tengku Hakimi tidak pula dia terfikir.Yang dia ingat, dia sedang leka memerhatikan Zahlia tanpa apa-apa perasaan berdebar atau gementar.“Along ni suka-suka mengata orang.”“Along cakap ikut pengalaman.Kan along lebih dulu makan garam, lebih dulu rasa nikmat rumah tangga,” ujar Tengku Hakimi sambil membelai rambut Tengku Murni.Tengku Syahran memandang wajah Tengku Murni.Cantik, macam mamanya Raja Jasmin.Namun dia berasa kasihan dengan Tengku Murni.Kecil-kecil lagi sudah kehilangan kasih sayang mama.Pada Tengku Syahran, Raja Jasminlah yang bertanggungjawab di atas penderitaan abangnya dan anak buahnya itu.“Kau tak temankan Alia? Kasihan dia melayani tetamu sorang-sorang tu.”“Tak apa bang.Biar dia biasa dengan keadaan rumah kita bila ada majlis keramaian macam ni.Baru dia tau,” jawab Tengku Syahran tenang.“Kau ni, tak elok kalau orang tengok! Suami isteri kena bertindak mengikut kata sepakat.Bukan dia ke sana, kau ke sini,” nasihat Tengku Hakimi.Tengku Syahran memandang alongnya semula.Ucapan itu terselit makna tersendiri.Mungkinkah along tidak mahu perkahwinan aku menjadi seperti perkahwinannya? Tengku Syahran meneka dalam hati.Raut Tengku Hakimi sudah jelas menyatakan tetapi Tengku Syahran tidak dapat menangkap.“Along bila lagi? Syah tengok Murni ni macam tengah rindukan mama dia.Baik along cari calon cepat-cepat sebelum Kak Min buat tuntutan hak penjagaan sepenuhnya ke atas Murni.” Tengku Syahran terus mengubah tajuk.Tengku Syahran sengaja meluahkan keresahannya sambil mencuit lembut pipi Tengku Murni.Tengku Syahran takut alongnya menderita lagi.Kecurangan Raja Jasmin sudah cukup azabnya.Jangan lagi alongnya menerima hukuman akan kehilangan Tengku Murni pula.Tengku Hakimi terdiam sejenak.Tubuh Tengku Murni dipeluk erat.Dia memikirkan kemungkinan kata-kata adiknya itu.“Entahlah Syah,along pun takut jugak,” ujarnya ringkas.“Sebab itulah Syah harap along kahwin lagi.At least Kak Min tak boleh cari kelemahan along.Konon-konon along tak boleh jaga Murni seorang sebab along ni lelaki,” beritahu Tengku Syahran.Tengku Hakimi membisu sambil matanya memerhati Zahlia yang semakin mendekati.Lama matanya terpaku pada sekujur tubuh yang sedang berjalan lembut dan penuh sopan.“Di mana kau jumpa Alia? Selama ni kau tak pernah cerita pun? Along ingat nak cari isteri seperti dialah.Ada sifat-sifat keibuan.” Tengku Hakimi berkata.“Along ingat lagi tak tentang accident kereta Syah dulu?”“Ingat! Yang tiga bulan lepas tu, kan?” jawab Tengku Hakimi.Tengku Syahran mengangguk.“Dialah perempuan yang Syah maksudkan tu!”“Oh… dia! Maknanya kau baru kenal dia tiga bulan dan terus jatuh cinta?” soal Tengku Hakimi seolah-olah kurang percaya dengan cerita adiknya itu.“Emm… kuasa ALLAH! Love at first sight,” jawab Tengku Syahran segera.Cuba menyembunyikan keresahan hati dengan soalan yang pelbagai.“Syah…” Tiba-tiba Zahlia bersuara dan menghampirinya.Tengku Syahran menoleh dan Zahlia sudah pun berada di sisinya.Zahlia sempat mencuit pipi Tengku Murni sebelum melemparkan senyuman kepada Tengku Hakimi.“Saya ada hal nak bincang dengan awak sekejap.Kita ke bilik,” beritahu Zahlia.Dahi Tengku Syahran berkerut.Namun hatinya mengucap syukur.Kehadiran wanita itu telah menyelamatkannya dari ditanya dengan pelbagai soalan.“Tentang apa?” tanya Tengku Syahran.Zahlia tidak menjawab.Lidahnya kelu kerana Tengku Hakimi ada di situ.“Adalah… saya tak boleh beritahu kat sini.” Lambat-lambat Zahlia bersuara.“Aikk… Alia! Dah kahwin pun ber’saya’, ber’awak’ lagikah? Cubalah panggil Syah tu dengan panggilan yang manja sikit.Sejuk hati dia.Gelaran saya dan awak tu kan gelaran waktu bercinta,” usik Tengku Hakimi sambil memandang Zahlia.Zahlia menyedari kesilapannya dan seraya tertunduk malu.Dia mula teringatkan syarat yang dikenakan oleh Tengku Syahran.“Along ni tak habis-habis nak menyakat,” marah Tengku Syahran sambil ketawa kecil.“Saya jumpa awak kat atas.” Zahlia segera berlalu.“Pergilah Syah.Dia panggil tu.Nanti merajuk pulak,” gurau Tengku Hakimi lagi.Tengku Syahran bingkas bangun.Ketawanya masih bersisa.Sebelum berlalu dia sempat menumbuk mesra bahu abangnya.Tengku Hakimi faham maksud adiknya.Kemudian dia ketawa lagi dengan tindakan Tengku Syahran.Mula merasai kebahagiaan yang bakal dikecapi adiknya.Tengku Syahran duduk di birai katil yang dibaluti cadar baldu yang berwarna hijau lumut.Dia termanggu seketika.Matanya terus merenung tubuh Zahlia yang sedang berdiri membelakanginya.Apakah jawapan yang harusku berikan? Tengku Syahran mati akal.“Syah cakaplah cepat! Apa yang harus saya buat lagi? Hari tu awak kata caranya senang! Sekarang?”Zahlia bagaikan merayu.Sakit hatinya melihat kelakuan Tengku Syahran yang telah pun sah menjadi suaminya itu.Silap Tengku Syahran yang selamba dan bercakap tidak serupa bikin itu membuatkan hatinya geram.Fikirannya kini terus melayang kepada seorang gadis yang baru dikenali tadi.“MACAM MANA you kenal Syah?” tanya seorang gadis lebih kurang sebaya dengan Zahlia.“Masa accident dulu.Tak sangka jodoh kami bertemu dalam keadaan begitu,” jawab Zahlia tenang.“Oh, ada jugak orang yang baru kenal tiga bulan terus kahwin ya?”Soalan gadis itu mula tidak disenangi Zahlia.Namun, Zahlia cuba menyembunyikan perasaan gementarnya itu.Tetap bersabar.“Siapa tahu kehendak ALLAH,” jawab Zahlia pendek.“Ya, hati orang pun kita tak tahu.Niatnya baik atau buruk! Yalah sejak zaman teknologi mula berkembang sekarang ni, macam-macam virus kita ketahui.Actually, virus tu pun macam manusia jugak.Ada yang elok dan ada yang memudaratkan.Betul tak Zahlia?” ujarnya panjang lebar.Zahlia telan liur mendengarnya.“Just call me Alia.”“Okay.By the way, I’m Hazwin.” Gadis itu menghulurkan salam.Zahlia menyambutnya walaupun kata-kata gadis itu tadi masih terasa menyerap ke lubuk hati.“Alia, Hazwin tu sepupu saya yang paling rapat.Saya yakin setelah awak mengenali dia, awak akan tahu dia tu sebenarnya tak seperti yang awak sangkakan.” Bicara Tengku Syahran menyedarkan Zahlia dari terus mengingati perbualan dinginnya dengan gadis yang dikenali sebagai Hazwin itu.Zahlia mengeluh kecil.“Habis tu, apa saya nak cakap kalau dia datang bersembang dengan saya lagi? Saya dah tak sanggup Syah! Saya tak mahu sepanjang perkahwinan kita, saya kena terus-terusan berbohong di hadapan semua orang! Itu baru Hazwin, kalau Linda bagaimana?” ujar Zahlia.“Alah, pandai-pandailah awak kelentong.Bukannya susah,” jawab Tengku Syahran.“Syah! Awak jangan nak pandai-pandai mengajar saya menipu pulak.Saya tolong awak ni, tak lebih dari untuk membalas budi dan sebab saya perlukan wang.Awak hanya suruh saya berlakon di hadapan keluarga awak.Awak tak beritahu perangai saudara-mara awak yang merimaskan,” jerit Zahlia geram dengan perangai Tengku Syahran.“Eh… janganlah jerit! Nanti orang dengar,” marah Tengku Syahran.“Ah, saya tak peduli! Awak memang nak perangkap saya.Ada niat lain awak mengahwini saya.Awak hanya mahu mengambil kesempatan ke atas diri saya,” jerit Zahlia lagi.Kali ini lebih kuat.Tengku Syahran terkejut.Segera dia menerpa ke arah Zahlia.Mulut Zahlia ditekupnya dengan tapak tangan.Tubuh Zahlia ditolaknya tepat ke dinding.“Diam! Jangan jerit.Aku tak suka dengar.Aku benci dengar perempuan yang suka menjerit!”Zahlia terkesima dengan tindakan Tengku Syahran.Bahasa lelaki itu bertukar kasar tiba-tiba.Wajahnya direnung begitu tajam sekali.Rasa ingin menangis kerana diperlakukan sedemikian rupa.“Bila mereka tanya, kau buka mulut.Bukannya susah! Aku dah bagi kau upah.Ingat, surat perjanjian tu ada pada aku.Sekali kau buat silap, kau tahulah akibatnya.Aku akan tuduh kau perempuan yang bukan-bukan,” ujar Tengku Syahran berbaur ugutan.Berlinang air mata Zahlia jatuh ke pipi.Dia cuba melepaskan diri.Tangan Tengku Syahran ditepis kuat.“Don’t you dare to touch me! Tolong hormati syarat yang patut awak patuhi.” Zahlia berkata dan mula menjarakkan diri dari Tengku Syahran.Zahlia mula menangis teresak-esak.Segera dia mencapai tuala yang tergantung di penyidai dan terus melangkah ke bilik air.Malas dia hendak melayan Tengku Syahran.Tengku Syahran bergerak ke katil.Dia merebahkan tubuh lalu jauh menyimpang.Dia cuba menenteramkan dirinya.Perlahan-lahan dia memejamkan mata.Beberapa minit kemudian, Zahlia keluar dari bilik air setelah lengkap berpakaian.Baju kurung pesak yang baru dipakainya menyerlahkan lagi kulit kuning langsat miliknya.Cuma, kepalanya tidak dilitupi tudung seperti tadi kerana rambutnya masih basah.Tengku Syahran dilihatnya sedang baring di atas katil sambil lengannya diletak di atas dahi.Mata Tengku Syahran yang pejam terus terbuka apabila terdengar derap langkah kaki yang berbunyi.Tengku Syahran terpandang Zahlia.Terkesima sebentar dia melihat diri sebenar Zahlia.Selama ini, dia hanya melihat keadaan Zahlia yang bertudung.Kini nafsu lelakinya tiba-tiba bergelora.Pandangannya masih tajam menjamah tubuh wanita yang sedang menghadap cermin.Rambut lurus Zahlia yang basah direnungnya lama.“Kenapa pandang saya macam tu?” soal Zahlia keras.Gementar hati Zahlia melihat panahan mata nakal Tengku Syahran menjamah tubuhnya.Namun, Zahlia berpura-pura bersikap berani.Terus menyapu losyen di lehernya yang putih.Tengku Syahran menelan air liur.Zahlia tidak peduli dengan renungan itu.“Nanti, awak bincang dengan ayah awak tentang syarat saya yang pertama tu.Saya tak mahu tinggal lama-lama di sini.Makin lama saya dalam rumah ni, makin gila saya melayani karenah awak.Saya nak tinggal di bilik sendiri,” luah Zahlia terus menyedarkan Tengku Syahran dari terus memerhatikannya.Dia tersentak seketika.“Tapi kita baru kahwin.Takkan nak pindah dalam masa terdekat ni? Nanti apa kata mak?” Tengku Syahran cuba memujuk.“Itu masalah awak.Awak pandai-pandailah kelentong.” Sengaja Zahlia menyindirnya.Kemudian Zahlia mencapai sejadah dan membentangkannya.Dia hendak menunaikan solat Asar.Selesai bersolat, dia berdoa.Tengku Syahran masih lagi memerhatikan perbuatan Zahlia.Zahlia tidak ambil pusing dengan renungan itu.Dengan pantas dia mencapai tudung serkup dan disarungkan ke kepala.Diikuti dengan tudung yang tersangkut di tepi almari.Zahlia bersiap-siap untuk turun ke bawah.Zahlia terus melangkah ke arah pintu.Tengku Syahran masih lagi terbaring di atas katil.Rimas dia melihat renungan lelaki itu.Lantas, tombol pintu dipulasnya dan sebelum dia melangkah keluar, sempat dia berpesan.“Solat Asar jangan lupa.Nanti terlepas pulak!”

No comments:

Post a Comment