Wednesday, May 6, 2009

BICARA HATI (Bab3)


Selesai jamuan makan malam, maka lengkaplah majlis gilang-gemilang bagi Tengku Ismail dan Tengku Badariah sekeluarga.Semua tetamu dan para jemputan sudah pulang.Hanya tinggal sahabat–handai terdekat.
Zahllia masih leka berbual-bual dengan beberapa orang saudara-mara Tengku Syahran.Kelihatan begitu mesra sekali.Tiba-tiba sahaja Tengku Syahran duduk di sisi Zahlia sambil tangannya diletakkan di atas paha wanita itu.
Zahlia terkejut.Hendak ditepis, nanti apa pula kata saudara-mara di hadapannya.Mahu tidak mahu, perbuatan Tengku Syahran terpaksa dibiarkan.
“Alia, kita jumpa ayah sekejap.Ada hal yang abang nak bincangkan tentang cadangan Alia tadi.”
Bergetar gegendang telinga Alia mendengar ucapan itu.Dia tidak sangka Tengku Syahran boleh berkata begitu.Heeiii…bahasakan diri abang.Yearkk… geli-geleman tekak aku.
“Sekarang ke?”
“Yalah.Habis tu nak tunggu bila lagi?” jawab Tengku Syahran sambil melirikkan mata ke arah sepupunya yang sejak tadi tersengih penuh makna.
“Jomlah.” Tengku Syahran menarik tangan Zahlia dan sama-sama melangkah mendapatkan Tengku Ismail.
Kemudian mereka bertiga memilih taman mini sebagai tempat perbincangan yang jauh dari keluarga dan saudara-mara.
“Betul ke ini rancangan kamu? Nanti apa pulak kata mak kamu?” soal Tengku Ismail sayu dengan rancangan Tengku Syahran.
Zahlia membisu.Tersentuh hatinya melihat keresahan yang terpancar di air muka ayah mentuanya.
“Kalau ikut saya ayah, memang saya tak kisah tinggal di sini.Tapi, Alia yang beria-ria nak pindah.Katanya senang nak ke tempat kerja.” Selamba ayat itu diucapkan oleh Tengku Syahran .
Zahlia terkedu mendengarnya.Kurang ajar betul mamat ni! Nak beritahu ayah dia tentang cadangan aku pun janganlah depan-depan aku, rungut hati kecilnya.
“Alia, betul ke apa yang Syah cakap? Kenapa tak nak tunggu dua, tiga bulan lagi? Ini belum pun sampai satu hari kamu berdua menjadi suami isteri, dah nak pindah,” rayu Tengku Ismail.
Zahlia tidak berani memandang wajah ayah mentuanya.Wajah lelaki yang separuh abad itu benar-benar menyucuk nalurinya.Terasa sayang pula Zahlia kepada ayah mentuanya walaupun baru beberapa kali mereka berjumpa sebelum hari perkahwinannya.
“Kalau mak kamu tahu bagaimana? Kecil hati dia nanti,” ujar Tengku Ismail lagi.
“Ayah, Alia sebenarnya tak kisah tinggal di sini.Tapi, seperti yang abang cakap, Alia nak ke tempat kerja senang.Tu yang Alia ingat nak cari rumah dekat-dekat situ aje.Lagipun tempat kerja abang tak jauh dari tempat Alia.Kan, bang?” panjang lebar Zahlia bercakap.Kata-kata itu tidak pernah terlintas di benaknya sebelum ini.
Tengku Syahran mengangguk tetapi di dalam hatinya, geli hati.Lucu dengan jawapan yang baru diluah oleh Zahlia.Nama tempat Zahlia bekerja pun dia tak tahu.
“Kalau kamu duduk di sini pun, bukannya susah.Tu, Pak Cik Osman kamu ada, dia boleh tolong hantarkan kamu, kalau kamu malas nak drive.Tak pun suruh aje Syah hantarkan.Dia kan dah jadi suami kamu.Kalau payah sangat,kamu berhenti ajelah Alia.Kerja dengan ayah.”
Zahlia terkesima dengan jawapan ayah mentuanya.Terus dia tunduk merenung meja kayu yang seni rekanya begitu unik.Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja yang rata dan licin itu.Tengku Syahran hanya membisu.Tiada tanda-tanda hendak membantu isterinya yang kehilangan hujah.
Biar Alia tahu, bukan senang nak pujuk Tengku Ismail.Apa, dia ingat dia seorang saja yang boleh besar kepala? Mentang-mentang kemukakan banyak syarat, ingat aku takut agaknya? Elehh… aku pun boleh tolak kalau nak! Cuma cara aku halus sikit.Reverse psychology ! Bisiknya di dalam hati.
“Tak mahulah,ayah.Buat apa Alia nak berhenti.Lagipun kalau Alia berhenti mengajar, tempat tu tak cukup cikgu.Zaman sekarang ni, ayah bukan tak tahu.Mana ada orang muda yang mahu kerja sukarelawan yang gaji sikit.Nanti, kesian anak-anak yatim tu,” bantah Zahlia bersungguh-sungguh.
“Ikut suka kamulah, kalau kamu nak terus kerja di situ.Tapi, hal pindah rumah ni ayah betul-betul tak setuju.Ayah bukan apa Alia, Syah… ayah dengan mak kamu dah tua.Dah tak lama di dunia ni.Jadi, ayah tak mahu anak menantu ayah duduk jauh-jauh selagi ayah masih hidup.”
Sedih hati Zahlia mendengar luahan hati ayah mentuanya.Dia menelan air liur yang begitu payah dirasakan.
“Ayah jangan cakap begitu.Ayah buat Alia berat hati.”
“Memang ayah sengaja buat kamu rasa macam tu.Kamu tu menantu ayah, Alia.Menantu yang satu-satunya ayah ada sekarang ni.Jadi, ayah merayu pada kamu, janganlah tinggalkan villa ni.Ayah yakin dengan adanya kamu,Villa Sakura ni akan berseri kembali.”
Fikiran Zahlia buntu memikirkan permintaan Tengku Ismail.Lain yang dirancang, lain pula yang jadi.Maha Suci ALLAH, tiba-tiba benaknya terasa berat untuk meninggalkan villa itu.Permintaan ayah mentuanya merupakan satu arahan buatnya.Peluang untuknya menolak memang tiada walaupun satu peratus.Dengan hati yang lemah, Zahlia mengangguk setuju.
“Baiklah ayah.Alia batalkan niat nak pindah rumah,” ujar Zahlia lembut.
Tengku Ismail berasa lega.Tengku Syahran pula tersenyum bangga.
“Tapi…”
“Tapi kenapa?” tanya Tengku Ismail.
Zahlia menoleh pada Tengku Syahran dengan wajah menahan geram.Dia sakit hati melihat suaminya itu dalam keadaan tenang.
“Abang tak kisah ke kalau Alia buat keputusan tak jadi pindah?” tanya Zahlia.
Tengku Syahran ketawa kecil.
“Tak kisah Alia.Keputusan Alia keputusan abang jugak.” Tengku Syahran menjawab sambil tersenyum.
“Aikk, apa yang dibualkan ni?” sapa Tengku Badariah mengejutkan mereka.
“Eh… Yah! Sejak bila Yah ada kat sini?” soal Tengku Ismail.
“Yah baru aje hantar Datin Rohana dengan Linda ke kereta.Ingatkan nak ke dapur, ternampak abang dengan anak menantu kat sini.Berbual apa ni?”
“Emmm… abang bersembang kosong aje.Sambil-sambil tu nasihatkan budak-budak ni tentang rumah tangga.Kawan Yah tu dah baliklah ya?”
“Abang jangan nak mengumpat kawan baik Yah.Kasihan Yah tengok Linda tu.Macam kempunan aje?” ujar Tengku Badariah.
“Memang kempunan.Kempunan nak naik pelamin dengan Syah!” usik Tengku Ismail.
Tengku Syahran meluat mendengar kata-kata emaknya.Matanya melirik ke arah wajah Zahlia yang bersahaja.Dia tahu Zahlia tidak berkecil hati dengan isu mereka sekarang.Apatah lagi ingin cemburu!
“Mak tak mahu berehat ke? Dah lewat ni!” soal Tengku Syahran memesongkan topik yang baru tercetus.
“Mak tak rasa penat lagi.Entahlah… seronok dapat menantu agaknya,” luah Tengku Badariah riang.
“Yah, abang tak nampak Ida dari tadi.Kenapa dia tak datang?” tiba-tiba Tengku Ismail bertanya.
Tengku Badariah mengelu seketika.
“Mak Nah sakit lagi bang! Makin teruk kata si Ida,” jawab Tengku Badariah.
“Balasan dialah tu.Suka menganiaya orang.”
“Hisy… abang ni tak baik.Buruk-buruk pun mak saudara Yah jugak!”
Tengku Ismail mengeluh mengingatkan nasib adik sepupu iparnya itu.
“Kasihan abang tengok si Ida tu.Merana betul zaman mudanya.”
“Entahlah bang.Orang tak suka tengok orang lain lebih sikit.Ada aje hasad dengkinya itu.”
“Dahlah anak entah ke mana!” Tengku Ismail mengeluh lagi.
Tengku Syahran dan Zahlia mendiamkan diri.
“Lega hati mak, kamu dah kahwin Syah.Tercapai impian mak nak tengok kamu naik pelamin,” ujar Tengku Badariah tiba-tiba.Matanya tepat memandang anak lelaki keduanya.
Zahlia terharu mendengar ucapan yang baru lahir dari mulut emak mentuanya.Bagaimana agaknya hati wanita ini bila mengetahui cerita sebenar?
“Sekarang mak dah ada cucu perempuan.Alia, lahirkan mak cucu lelaki pulak,” pinta Tengku Badariah membuatkan Zahlia tergamam.
Segera matanya melirik ke arah Tengku Ismail yang sedang tersenyum-senyum itu.Matanya di alih ke arah Tengku Syahran yang juga sedang tersengih penuh makna.Kenapa dengan Syah ni? Selamba je.Mak dia tengah mintak yang bukan-bukan, dia boleh tersengih macam kerang busuk.Baik!! Aku guna cara aku! Hatinya memberontak.
“Bolehkan Alia?” soal Tengku Badariah lagi.
Zahlia mengetap bibir.Wajahnya tunduk dan sesekali jari telunjuknya menggaru-garu dahi yang tidak gatal.
“Alia?” sapa Tengku Badariah lagi.
Zahlia menarik nafasnya dalam-dalam.
“Mak tanyalah pada abang.Kalau abang mahu anak dalam masa setahun ni, Alia tak kisah.” Tiba-tiba Zahlia menjawab.
Tengku Ismail dan Tengku Badariah berpandangan.Manakala Tengku Syahran bagaikan tidak percaya dengan jawapan yang baru didengarnya.
“Kalau itu jawapan Alia, mak gerenti Syah takkan membantah.Dia mesti ikut cakap mak,” jawab Tengku Badariah dalam nada gembira.
“Tapi, sebelum kahwin, abang dah pesan yang dia tak mahu anak dalam setahun ni.Susah katanya! Kalau ikut Alia, memang Alia nak, mak,” ujar Zahlia lagi.
Tengku Syahran makin terkejut mendengar kata-kata itu.Beraninya dia!
“Eh, apa pulak begitu? Anak kan pembawa rezeki.” Tengku Badariah berkata seolah-olah marah.
Zahlia mengerling ke arah Tengku Syahran dengan senyuman yang sedikit terukir di riak wajahnya.Lelaki itu sedang mengerutkan dahi.
“Biarlah Yah oi! Mereka dah merancang.Lagipun buat apa ada anak awal-awal? Biarlah mereka merasai hidup berdua lama-lama sedikit.” Tiba-tiba Tengku Ismail menyampuk.
Tengku Syahran masih tidak lepas merenung wajah isterinya.Wah, pandainya dia mengenakan aku.Jaga dia!
“Laa… abang ingatkan Alia yang tidak mahu beranak awal.Abang cakaplah macam tu.Alia pun bukannya nak beritahu abang yang Alia nak anak cepat.” Tanpa diduga Tengku Syahran berkata.
Zahlia mula mencari ayat yang sesuai untuk membalas.
“Maknanya abang tak kisah ada anak dalam masa setahun ni?” soal Zahlia kepada Tengku Syahran.
Biar benar perempuan ni! Suka-suka berjanji dengan mak aku.Kalau mak aku tuntut macam mana? Dahlah kahwin pun tak tentu hala, bisik hati kecil tengku Syahran.
“Abang?” suara gemersik itu berbunyi.
Tengku Syahran tersentak.Entah mengapa tiba-tiba Tengku Syahran mengangguk.Tengku Badariah dan Tengku Ismail tersengih.
“Mak bersyukur dapat menantu macam Alia ni.Pandai Syah cari,” puji Tengku Badariah.
Zahlia ketawa kecil.
“Janganlah puji sampai macam tu mak.Malu Alia,” jawab Zahlia malu-malu.
Tengku Ismail tersenyum melihat keramahan menantunya itu.Sedangkan Tengku Syahran masih membisu mancari jawapan sebenar tentang permintaan Tengku Badariah tadi.
Okeylah mak, ayah.Alia naik dulu.Nak rehat.Lagi lama Alia kat sini,lagi kembang hati Alia dibuat mak,” tambahnya.
Tengku Badariah dan Tengku Ismail ketawa.